TRAGEDI SUNGAI KIM KIM & BENCANA INDUSTRI; GABUNGAN DAN KERJASAMA SAINTIS UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM) BESERTA KERAJAAN TEMPATAN DAN PIHAK SWASTA DALAM PENGURUSAN BENCANA
Tragedi Sungai Kim Kim pada bulan March 2019 telah mengejutkan seluruh tanahair, lebih-lebih lagi ianya belum pernah dialami oleh agensi yang berkaitan. Tragedi ini telah membuka mata beberapa agensi yang berkepentingan dalam pengurusan situasi kecemasan dan bencana dalam negara. Tragedi yang pertama dan terbesar melibatkan kecemasan pengurusan kimia di Malaysia.
Pengurusan bencana bukanlah tertumpu kepada sektor kerajaan sahaja, ianya merangkumi sektor swasta dan juga masyarakat sekitar. UTM mengambil inisiatif pertama dengan merangka program berimpak tinggi kepada masyarakat sekitar Pasir Gudang, program yang berteraskan dapatan saintifik dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat. Saintis dari UTM dengan disertai oleh beberapa agensi dan NGO bersatu tenaga pada 13 Oktober 2019 bagi menganjurkan program High-Impact Community Based Disaster Risk Reduction (HiCBDRR) dan pengkhususan kali ini diatur dengan mengambilkira kejadian yang telah mengejutkan negara; tragedi Sungai Kim Kim. Seramai 2000 orang telah mengambil bahagian dalam program yang bersempena dengan Bulan Kesiapsiagaan Bencana (BKN) dan hari International Day for Disaster Risk Reduction. Program ini dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Dr. Sahruddin Bin Jamal dan turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Haji Azmi Bin Rohani, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Dato’ Mohtar Bin Mohd Abd Rahman dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Bin Omar.








Bulan Kesiapsiagaan Bencana telah mula diperkenalkan pada tahun 2015 dan bulan Oktober setiap tahun dipilih kerana kebiasaanya musim tengkujuh akan melanda negara pada bulan November. Sejak dari 2014, Geo Hazards Lab Fakulti Teknologi & Informatik Razak telah menjalankan beberapa siri program kesiapsiagaan bencana di seluruh tanah air. Pada tahun 2019, Pasir Gudang menjadi pilihan untuk program Kerjasama Gabungan Antara Kerajaan Tempatan, Badan Swasta, PAGEMA, NGO Rakan NADMA, MSOSH, SRG serta Universiti Teknologi Malaysia.


Program ini telah dirancangkan terlebih awal sejak dari tahun 2018 melalui pembentangan kajian NATECH (Natural Disaster & Technological Disaster) oleh salah seorang pelajar PhD Fakulti Teknologi & informatik Razak, En MOHD ZAINOOR ANNUAR. Kajian NATECH ini tertumpu disekitar kawasan industri dan kawasan perkepadatan penduduk di Pasir Gudang. Perkara ini telah disampaikan kepada pengetahuan NADMA menerusi perbincangan dua hala kumpulan Geo Hazards Lab diketuai oleh Dr KHAMARRUL AZAHARI. Menerusi beberapa siri lawatan dan perbincangan lanjut bersama Majlis Perbandaran Pasir Gudang, BOMBA, Hospital Sultan Ismail, Pegawai Daerah Johor Bahru, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan MERCY, program berskala besar ini telah berjaya dilancarkan di Dewan Serbaguna Taman Mawar, Pasir Gudang pada 13 Oktober 2019. Tarikh 13 Oktober dipilih susuai dengan semangat Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional yang disambut seluruh Malaysia dan juga tanggal 13 Oktober adalah hari International Day for Disaster Risk Reduction yang disambut seluruh dunia.
Menerusi program usaha sama beberapa pihak ini, kajian saintifik dapat dilakukan dengan pengumpulan data bagi penghasilan index dayatahan risiko bencana NATECH.
Dianggarkan seramai 2000 hadirin yang terdiri daripada wakil pelajar dan guru sekolah, wakil industri, wakil agensi, NGO dan MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) memenuhi majlis yang bakal memberi impak positif kepada 115000 pelajar lain di 111 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang. Program perkongsian maklumat ini diharap dapat memberi rangkaian penyebaran pengetahuan mengenai bencana apabila maklumat ini disalurkan ke setiap sekolah, agensi dan juga penduduk.






Objectif program ini adalah untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar dan penduduk sekitar Pasir Gudang mengenai kesiapsiagaan bencana. Setiap sekolah disekitar Pasir Gudang menghantar wakil terdiri dari pelajar lelaki dan perempuan serta guru bagi bersama dalam sesi penyampaian maklumat tentang bahaya bencana teknologi. Penyampaian maklumat mengenai bencana turut disampaikan oleh pakar dari Jepun, JICA Japan International Cooperation Agency, Dr SHOHEI MATSUURA. Turut bersama dalam perkongsian maklumat kesiapsiagaan bencana ialah Komandan HAZMAT dari Pasukan BOMBA serta MERCY Malaysia.
Program ini diisi dengan aktiviti perbincangan kumpulan berfokus (FGD Focus Group Discussion) yang disertai oleh wakil kampung sekitar Pasir Gudang serta pemegang taruh yang lain. Saintis UTM sedang giat menjalankan penaksiran risiko bencana dan rangka kerja risiko bencana di Pasir Gudang. UTM komited dangan penghasilan pelan jangka pendek, sederhana dan Panjang akan dibentang kepada NADMA dan pihak pengurusan bencana dalam masa terdekat.
Pemeran aset jentera pengurusan bencana turut menyerikan lagi suasana program serta pameran booth dari NGO, agensi pengurusan bencana dan badan swasta berjaya memantapkan lagi pengetahuan bencana kepada umum. Program “Public-Private-Partnership” dan kerjasama dengan badan akademik seharusnya dilancarkan di setiap negeri serta menjadi program tahunan bagi meningkatkan lagi daya tahan penduduk.






Gambar sekitar waktu kejadian Tragedi Sungai Kim Kim



